Korang suka makan kek secret recipe tak? rasanya faberet sume orang kan... meh kita tgk sapa pengasas dia...

MENAUNGI kira-kira 3000 pekerja di seluruh negara - 95 peratus rakyat tempatan, selebihnya dari negara jiran. Lebih menarik lagi 98 peratus daripada keseluruhan pekerjanya Melayu beragama Islam. Angka itu membuatkan keterujaan mahu menyelongkar di sebalik nama Datuk Steven Sim meluap-luap. Tidak banyak tulisan mengenainya sedangkan jenama Secret Recipe yang diasaskan beliau membina nama ke peringkat antarabangsa. Secret Recipe lebih menonjol daripada tuannya - kesempatan bersembang dua jam dengan Steven cukup untuk menjawab perbandingan tersebut.
Anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan itu hakikatnya amat merendah diri. Prinsip hidupnya antara lain jangan tamak. ''Kita dilahirkan kosong, bila mati pun tak bawa apa-apa,'' kata anak bongsu lapan beradik yang mengkategorikan kehidupan masa kecilnya susah. Suasana kampung sarat dengan kekurangan menjadikan Steven manusia kreatif. Semua permainan dibuat sendiri. Jika budak-budak lain membuat wau biasa, Steven menambah nilai misalnya memastikan wau hasil tangannya mempunyai bunyi berdengung. Untuk bermain hoki pelepah kelapa 'dikemaskan' manakala biji getah digosok hingga licin sehingga ada rakan tertarik lalu membelinya selain aktiviti menangkap ikan yang kemudiannya juga menjadi hasil jualan.