Saja nak kongsi dari email yang di hantar oleh seorang pembaca di blog gossip artis Beautifulnara... Alhamdulillah apabila seorang anak muda yang bergelar artis pulak tu telah di beri hidayah oleh Allah... Cuba baca artikel ini
Saya teringin nak berkongsi tentang Ashraf Muslim. Dia jadi cover untuk Majalah i terbitan Karangkraf. Bercerita tentang kehidupannya dan bagaimana hidayah Allah menyapa, dan cabaran-cabaran yang dia telah dan sedang hadapi untuk mengekalkan hidayah yang Allah telah tumbuhkan dalam jiwanya.
Katanya, dia mula berubah sejak dia mula merenung diri dan melihat betapa banyaknya dosa yang dia telah lakukan. Hidupnya yang penuh gaya tidak menjanjikan ketenangan, malahan membuatkan dia terperangkap antara ketenangan, kemewahan dan kepuasan, tetapi dia tidak mahu mengaku kalah dengan kecamuk jiwanya, lalu dia bangkit cuba mencari jawapan kepada setiap persoalan yang mengganggu jiwa. Dia mula menyusuh langkah untuk menjadi manusia yang lebih baik walaupun dugaan cukup banyak.
Dia berfikir, adakah setakat solat telah cukup untuk menjadikannya sebagai muslim yang baik sedangkan dia bukanlah seorang individu yang gemar meninggalkan solat sebelumnya? Persoalan jiwa ini, dia tanyakan kepada kenalannya yang dianggap sebagai saudara, Hj Lokman yang membuka Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, dan jawapan yang diberikan mudah sahaja, tetapi sangat menyentuh.
“Dekatkanlah diri dengan Allah,”.
Manusia banyak sekali dosanya yang wajib bertaubat bersungguh-sungguh. Dan salah satu jalannya, dia dinasihatkan supaya menunaikan umrah, dan carilah umrah yang mabrur, beribadah seikhlasnya, dan betulkan niat. Ashraf mengambil masa setahun untuk menyediakan diri ke Makkah. Dia mendekatkan diri kepada Allah, solat taubat dan meninggalkan perkara yang ditegah.Namun katanya, pada waktu itu dia masih berlakon, dan dia merasakan ada percanggahan dalam dirinya. Kerana dia masih harus melakukan adegan-adegan yang tak sepatutnya seperti memegang tangan bukan muhrim dan lain-lain lagi. Dia juga mengalami masalah kewangan untuk mempersiapkan diri ke tanah suci dan seluruh kerisauannya diadukan kepada Allah, dan dia mendapat tawaran lakonan dengan bayaran yang sangat tinggi berbeza nilainya dengan sebelum-sebelum ini.
Di Makkah dia melakukan ibadah sesungguh hati, bersyukur dengan segala yang Allah kurniakan dan selalu memohon semoga Allah tidak mencabut hidayah yang telah diberikan kepada dirinya. Dia juga katanya, semakin menyedari keindahan islam, serta sangat bersyukur kerana diberikan perasaan sangat mencintai al-Quran yang membuatkan kefahamannya mengenai islam semakin mendalam dan keyakinan juga semakin bertambah.
Ashraf juga bercerita mengenai ujian-ujian yang perlu dia hadapi dalam mengharungi perubahan. Terutama sekali dalam kariernya sebagai seorang pelakon. Di Makkah dia memohon kepada Allah semoga hatinya dikuatkan untuk berubah, dan diberikan tawaran watak yang sesuai dengan pendirian barunya. Sekembalinya dari Makkah, dia mendapat banyak tawaran termasuklah watak-watak yang diidamkan sebelum ini, namun pada masa itu masih terdapat percanggahan konflik dalam dirinya, antara tuntutan dan komitmennya dengan kehendak diri sendiri. Malah dalam siri Ustaz Amirul pun, dia mengakui masih banyak perkara yang tidak selari dengan kehendak dirinya sendiri. Dia berdepan dengan dilema antara melakukan kehendak orang lain atau berpegang teguh dengan pendirian diri.
Demi menghormati komitmen dan tuntutannya terhadap agama, Ashraf mengambil keputusan untuk berhenti seketika dari bidang lakonan, dan menggunakan masa rehat ini untuk memperkasakan dirinya, agar jiwa menjadi lebih kuat sebelum bersedia berlakon semula dengan cara yang lebih baik.
Buat masa sekarang, Ashraf menekuni bidang perubatan berasaskan al-Quran, dan ini boleh digunakan sebagai salah satu cabang dakwah. Mudah-mudahan dengan menggunakan al-Quran sebagai salah satu rawatan, orang akan lebih mencintai al-Quran, dan mendorong mereka yang selama ini jauh daripada agama lebih dekat dengan al-Quran. Dia juga bersama Hj Lokman telah menubuhkan rumah khas untuk anak yatim, di samping merancang untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan rawatan untuk pesakit kanser, serta menubuhkan rumah kebajikan untuk orang-orang tua beragama islam. Malah mereka juga bekerjasama dengan sebuah agensi menawarkan pakej umrah dan rawatan di tanah suci.
Saya tertarik dengan harapan Ashraf di akhir artikel tersebut. Katanya :
“Saya berharap suatu hari nanti industri perfileman kita akan berubah. Dengan menggunakan teknik-teknik tertentu dan beberapa idea lain, mungkin adegan-adegan di tempat tidur dan rogol misalnya dapat dihindarkan. Walaupun kita tidak menunjukkan secara detail, tetapi dengan kepakaran yang kita ada, mesej yang ingin disampaikan kepada penonton sampai, tanpa perlu mengheret pelakon melakukan hal-hal yang tidak selari dengan kehendak agama.”
No comments:
Post a Comment