Apa itu demam denggi?
Denggi ialah sejenis penyakit akut yang menyebabkan sakit kepala, demam, keletihan, sakit sendi dan otot, kalenjar membengkak dan juga ruam. Triad denggi iaitu demam, ruam dan sakit kepala dan
sakit sendi merupakan ciri utama demam denggi. Penyakit ini disebabkan oleh 4 jenis virus denggi( DENV 1, DENV 2, DENV 3 atau DENV 4 ) . Oleh kerana denggi disebabkan oleh 4 jenis serotype,maka seseorang individu boleh mengidap denggi beberapa kali.Setiap kali serangan denggi akan menghasilkan imuniti semumur hidup terhadap serotype tersebut. Virus-virus ini menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti. Di Hemisfera Barat, nyamuk Aedes aegypti merupakan vector yang utama menyebarkan virus denggi. Walau bagaimanapun, kes denggi di Hawaii pada tahun 2001 adalah berbeza kerana ia disebabkan oleh nyamuk Aedes albopictus.
Dianggarkan 100 juta kes denggi berlaku di seluruh dunia setiap tahun.
Denggi juga dipanggil dengan nama yang lain antaranya “breakbone” atau “ dandy fever”.
Apa pula yang dimaksudkan dengan denggi berdarah?
Denggi berdarah ialah keadaan yang paling teruk demam denggi. Ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera.
Ia disebabkan oleh virus yang sama yang menyebabkan demam denggi.
Dengan rawatan yang tepat, kematian disebabkan oleh demam denggi berdarah boleh dikurangkan sehingga kurang daripada 1% kes kematian.
Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Penyakit ini merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti betina yang telah dijangkiti oleh virus denggi. Spesis nyamuk ini banyak membiak ketika musim hujan. Akan tetapi ia boleh juga membiak di dalam pasu bunga,tin dan beg plastik yang mengandungi air bertakung. Satu gigitan nyamuk sudah cukup untuk menyebarkan penyakit ini.
Virus ini tidak berjangkit dan ia tidak merebak secara terus daripada individu kepada individu yang lain. Hubungan manusia-nyamuk-manusia harus wujud untuk membolehkan penyakit ini merebak.
Pemindahan penyakit berlaku sebagaimana di bawah:
- Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi.
- Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 – 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).
- Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).
- Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.
- Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.
Pemindahan penyakit demam denggi bukan sahaja merebak melalui gigitan nyamuk tetapi ia juga boleh merebak melalui pemindahan organ atau transfusi darah daripada penderma yang telah dijangkiti demam denggi.Keadaan ini amat jarang sekali berlaku.
Terdapat juga bukti yang menunjukkan pemindahan penyakit ini boleh berlaku daripada ibu mengandung kepada fetus.
Apakah faktor yang meningkatkan risiko denggi?
Pada asasnya, mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi dan terdedah kepada nyamuk Aedes menghadapi risiko dijangkiti demam ini.
Kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit denggi ialah:
- Penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi.
- Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. Penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan ini.
Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?
Kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah di Malaysia adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala kadar kematian atau mortaliti demam denggi dan demam denggi berdarah pada tahun 1998 adalah masing-masing 0.22 dan 0.23 bagi setiap 100,000 penduduk.
Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 buah negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat Sebelum tahun 1970, hanya sembilan buah negara mengalami epidemik denggi. Bilangan yang merupakan peningkatan 4 kali ganda di sekurang-kurangnya 41 buah negara dalam tahun 1995. Perangkaan yang lain adalah seperti di bawah . Seramai 2500 juta manusia – iaitu 2/5 penduduk dunia – sekarang ini menghadapi risiko demam denggi. Tanpa rawatan yang bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15% atau lebih .
Apakah gejala denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit arboviral yang kompleks merangkumi demam denggi, demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.
Demam Denggi
Simptom-simptom demam denggi selalunya berlaku di dalam 2 fasa.Ia bermula 2-7 hari selepas digigit nyamuk.
Fasa awal (3–4 hari yang pertama):
- Demam panas sehingga mencapai 40 darjah selsius.
- Mengigil.
- Sakit mata.
- Sakit kepala.
- Sakit otot dan sendi terutamanya di bahagian pinggang.
Fasa kedua (3-4 hari kemudian):
- Tiada demam (defervescence). Kadang-kadang boleh juga berlaku demam panas.
- Ruam – titik-titik kemerah-merahan timbul di bahagian lengan.kaki dan mungkin seluruh badan.
- Loya.
- Muntah.
- Batuk.
- Sakit tekak.
- Selsema.
- Pendarahan hidung dan gusi di dalam kes denggi berdarah.
- Kebiasaannya tidak berlaku kegagalan fungsi organ yang disebabkan oleh pendarahan dalaman yang teruk.
Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.
Anda dinasihatkan supaya lebih berjaga-jaga apabila suhu badan turun 3-7 hari selepas simptom bermula.
Segera pergi ke hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya simptom-simptom di bawah muncul :
- Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati,sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen atau muntah berterusan.
- Ruam di badan.
- Pendarahan hidung atau gusi.
- Muntah berdarah.
- Najis berwarna hitam.
- Pening dan mudah marah.
- Kulit kelihatan pucat dan sejuk
- Sukar bernafas.
Sindrom Renjatan Denggi
Bagi kes-kes yang serius, keadaan pesakit merosot dengan mendadak selepas demam beberapa hari. Tanda-tanda kegagalan peredaran darah dapat dilihat:
Kulit pesakit menjadi dingin, lebam dan padat dengan darah terkumpul, sianosis sirkumoral (circumoral cyanosis) dan pesakit merasa tidak selesa. Seterusnya, melarat ke tahap renjatan yang kritikal.
Renjatan dicirikan oleh denyutan nadi yang lemah dan cepat, tekanan darah rendah (hipotensi)(keadaan ini menurun secara tidak normal), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan segera. Jangka masa renjatan adalah pendek. Pesakit mungkin meninggal dunia dalam tempoh 12 – 24 jam atau sembuh dengan cepat selepas diberi terapi antirenjatan.
Apakah ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini?
- Pemeriksaan darah digunakan untuk membantu dalam diagnosis demam denggi. Kiraan sel platlet yang rendah <100 x 109/L (trombositopenia) dan kepekatanhematokrit (hemokonsentrasi) yang tinggi > 20% lazimnya dikesan.
- Ujian serologi menawarkan kaedah yang paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Contoh ujian serologi yang boleh dibuat ialah ELISA, Monoclonal antibody dan hemagglutinasi. Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai.
- Ujian Guaiac digunakan untuk mengesan darah okult di dalam najis.
Bagaimana demam denggi dirawat?
Tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Rawatan yang diberi hanyalah untuk merawat simptom-simptomnya sahaja.
- Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral (ORS) sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.
- Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam. Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis – mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan. Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.
- Acetominophen dan codeine mungkin diberikan kepada pesakit yang menghadapi sakit kepala dan sakit sendi serta otot yang kuat.
- Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.
Rawatan bukan farmakologi
Rawatan termasuk:
- Meningkatkan pengambilan cecair.
- Meningkatkan bekalan oksigen.
Pesakit demam denggi perlu berehat dan minum lebih banyak air untuk segera sembuh. Pesakit yang mengalami renjatan ketika demam perlu diberi cecair secara intravena (melalui salur darah vena). Oksigen juga perlu diberikan. Untuk pesakit demam denggi berdarah, penggantian cecair badan yang hilang mungkin mampu menyelamatkan nyawanya. Bagi sesetengah kes, pemindahan darah perlu dilakukan bagi mengawal pendarahan.
Rawatan farmakologi
Tiada ubat khusus bagi merawat demam denggi. Rawatan adalah untuk menghilangkan gejala yang timbul.
Apakah jenis pemantauan yang perlu dibuat?
Apabila sahaja pesakit disahkan mendapat demam denggi adalah menjadi tanggung jawab doktor yang merawat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai perkara ini kerana denggi merupakan penyakit yang perlu dilaporkan. Laporan ini penting supaya tindakan lanjutan seperti di bawah ini dapat dijalankan:
- Kawasan dan persekitaran di mana pesakit disyaki dijangkiti perlu dilakukan pengasapan (fogging) oleh pihak berkuasa.
- Memantau kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes supaya ianya tidak merebak ke tempat lain. Jika tempat pembiakan ditemui pemilik rumah akan didenda.
- Apabila pesakit telah keluar dari hospital, beliau dan ahli keluarganya perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan bertindak untuk mencegah penyakit ini dari berulang. Ini kerana pesakit yang pernah mengalami denggi jika ia mendapat semula penyakit ini, kesannya adalah amat teruk.
Apakah prognosis bagi demam denggi?
Pada umumnya, prognosis bagi demam denggi dan demam denggi berdarah adalah baik jika rawatan sokongan diberi lebih awal.
Apakah yang perlu dilakukan untuk mencegah demam denggi?
Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:
- Perlindungan dari gigitan nyamuk.
- Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
- Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
- Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk
Untuk mengelak dari gigitan nyamuk, seseorang itu perlulah mengetahui tabiat makan nyamuk dan menggunakan bahan penghindar nyamuk( repellen) pada kulit yang terdedah apabila perlu. Pakai pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh kerana ini boleh melindungi dari gigitan nyamuk. Pasangkan jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah.
Elakkan dari membuat lawatan ke kawasan berisiko tinggi di waktu siang
Jalan terbaik ialah mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.
Musnahkan tempat pembiakan nyamuk
Cara lain untuk mencegah denggi ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes membiak dalam tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda juga perlu selalu menukar air dalam pasu bunga dan bekas air minum haiwan peliharaan untuk mencegah nyamuk dari membiak. Apa yang anda dan keluarga perlu lakukan ialah:
- Tutup dengan rapat semua bekas air seperti baldi, bejana air dan tong-tong atau masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalamnya.
- Salin air dalam jambangan bunga setiap minggu.
- Periksa saluran air hujan (saluran bumbung) setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang menyekat aliran air.
- Bersihkan persekitaran rumah anda. Buangkan semua bekas atau benda yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong dan botol ke dalam beg plastik dan letakkan dalam tong sampah yang bertutup.
- Buangkan air dan basuh pengalas pasu bunga
Hapuskan nyamuk Aedes dewasa
Anda boleh menggunakan penyembur serangga bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah. Melakukan semburan menyeluruh bahagian rumah. Untuk lebih berkesan, semburan perlulah dilakukan ke seluruh bahagian dalam rumah. Anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk untuk mengelakkan anda dan keluarga dari digigit nyamuk.
Reference: